Puspa cempaka konon kirimkan
pada arus lari ke laut
akan duta kanda jadikan
pada adinda kasih terpaut.
Teja bunga seroja dalam taman
kemala hijau di atas mahkota
orang berikan pada kekanda
tiada kuambil kerana tuan.
Adakah gemerlapan bagi kemala
adakah harum lagi seroja
pada beta tumpuan duka
sebab tuan lalu mengembara.
Tuan lalu tiada berkata
haram sepatah sepantun duli
kanda tinggal sepenuh wangsangka
pilu belas di dalam hati.
Hatiku rindu bukan kepalang
dendam beralik berulang-ulang
air mata bercucur selang-menyelang
mengenangkan adik kekasih abang.
Diriku lemah anggotaku layu
rasakan cinta bertalu-talu
kalau begini datangnya selalu
tentunya kekanda berpulang dahulu.
Tinggalah tuan, tinggalah nyawa
tinggal juita tajuk mahkota
kanda lalu menghadap "dewata"
bertelut di bawah cerpu Maulana.
Kanda pohonkan tuan selamat
ke bawah kaus dewata rahmat
moga-moga tuan hendaklah mendapat
kesukaan hidup ganda berlipat.
Puisi Oleh: Amir Hamzah